• 3 years ago
KENYATAAN MEDIA 2 Januari 2021

Saya mengambil maklum keluhan ramai terutamanya melibatkan isu moratorium pinjaman sewa beli kenderaan yang didapati hanya janji dan harapan palsu oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Saya mendapati moratorium pinjaman sewa beli kenderaan ini datang bersama kos yang lebih besar dan menambah beban rakyat. Pelbagai syarat yang dikenakan juga terus merumitkan keadaan, dan ini tidak membantu rakyat di bawah yang saat ini masih terhimpit dengan dampak wabak COVID-19.

Sebagai kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah, adalah tidak wajar perkara sebegini dipandang enteng dan diambil mudah. Saya menggesa kerajaan dan Menteri Kewangan untuk membetulkan perkara ini sesegera mungkin.

Kerajaan juga harus menjelaskan dengan lebih terperinci jumlah sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia dan para pembayar cukai akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Justeru segala pernyataan yang dibuat Menteri Kewangan semasa penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini sukar dipercayai terutamanya berhubung soal pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan juga projek mega HSR.

Jika benar seperti yang dilaporkan, ini secara tidak langsung telah mendedahkan lagi kelemahan kerajaan PN dalam membuat sebarang keputusan besar buat negara dan rakyat.

Ketidakstabilan dan goyahnya kerajaan hari ini memberi imej dan reputasi yang buruk kepada negara tatkala ia akan menanam ketidakyakinan kepada negara-negara luar untuk mengadakan rundingan atau untuk mencapai sebarang persetujuan dengan Malaysia.

Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak boleh digantung harap.

Perkembangan ini memburukkan keadaan tatkala negara dan rakyat masih bergelut dengan situasi ekonomi pandemik saat ini.

ANWAR IBRAHIM

Recommended